75,000 tan metrik sampah dari Sungai Klang – Harian Metro
Lebih 75,000 tan metrik sampah dikeluarkan dari Sungai Klang di antara 2016 sehingga September lalu menerusi projek Selangor Maritime Gateway (SMG) di bawah anak syarikat kerajaan negeri, Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB).
Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin berkata, projek SMG adalah inisiatif kerajaan negeri dalam usaha memulihara Sungai Klang sepanjang 56 kilometer sejak 2016 sehingga kini.
“Sungai Klang tidak lagi antara sungai paling kotor di dunia di mana sejumlah 75,402 tan metrik sisa pepejal berjaya dikeluarkan di antara 2016 dan September lalu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 50 peratus sampah organik seperti keladi bunting, tumbuh-tumbuhan, rumput, dahan pokok dikeluarkan.
“Sebanyak 50 peratus lagi sampah bukan organik di mana plastik menyumbang 80 peratus daripada keseluruhan sampah bukan organik, 20 peratus adalah bungkusan makanan dan minuman, aluminium, tin, barangan getah, tekstil dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.