Landasan Lumayan diurus secara profesional laksana projek pulih Sungai Klang – Selangorkini
Syarikat Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) yang diberi mandat mengendalikan projek Gerbang Maritim Selangor (GMS) diuruskan secara profesional dan bersedia menerima sebarang semakan bebas.
Syarikat itu dalam kenyataan berkata cara operasinya sentiasa diberi perhatian tinggi termasuk kesemua perbelanjaan, gaji dan bonus pengarah telah melalui proses dan kelulusan yang betul.
“Pembekal dan rakan kongsi kontrak tertakluk kepada usaha wajar dan ditapis sebelum sebarang pelantikan dilakukan,” kata syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Kenyataan itu mengulas mengenai dakwaan seorang wakil rakyat pembangkang pada sidang Dewan Negeri baru-baru ini yang mempersoalkan kemampuan LLSB dalam mengendalikan projek GMS.
LLSB berkata projek SMG mendapat liputan luas dan perhatian positif media tempatan serta antarabangsa serta rakan kongsi mengiktirafnya sebagai model pembangunan sungai yang mampan.
Tambahnya sepanjang lima tahun ini, kerja-kerja yang dilaksanakan LLSB telah meningkatkan nilai Sungai Klang dengan penyingkiran sisa lebih 75,000 metrik tan dan peningkatan keseluruhan indeks kualiti air (IKA) dari Kelas V kepada Kelas III.