Lebih 75,000 tan metrik sampah dikeluarkan dari Sungai Klang sejak 2016 – Selangorkini
Sejumlah 75,402 tan metrik sisa pepejal berjaya dikeluarkan dari Sungai Klang antara 2016 hingga September lalu melalui projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).
Daripada jumlah itu, sebanyak 50 peratus adalah sampah organik seperti keladi bunting, rumput dan dahan pokok manakala selebihnya bukan organik antaranya plastik, tin dan tekstil.
Pengarah urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) berkata inisiatif itu selaras komitmen negeri untuk mengurangkan pengeluaran sampah sebanyak 33 peratus menjelang hujung Disember ini.
“Pada hujung 2022, projek ini menyasar untuk mengurangkan pengeluaran sampah tahunan sebanyak 40 peratus berbanding jumlah kutipan tahun pertama ia beroperasi pada 2016,” kata Syaiful Azmen Nordin dalam kenyataan baru-baru ini.
Jelasnya, beberapa langkah tambahan diambil bagi mempergiat usaha pembersihan termasuk memasang dan menaik taraf perangkap serta penyaring sampah di 38 lokasi berpotensi di hilir sungai.